Wednesday, 23 July 2014

Tips Melamar Kekasih

Artikel : Melamar & Lamaran Si Dia
Penulis : Murshid Eunos
Sumber : Harian Metro 18/3/2014

Mustahil kamu hanya ingin bercinta dan menikmati saat indah itu semata-mata tanpa memikirkan fasa seterusnya. Sudah tentu selepas beberapa ketika, soal berkahwin dan membina masa depan bersama harus difikirkan. Bercinta pun tak manis lama-lama kerana ia mengundang maksiat selain membuang duit saja.
Bagaimanapun, apa yang perlu kamu tahu sebelum mengambil langkah itu? Apa perlu kamu lakukan dan bagaimana pula untuk melamar si dia? Persoalan itu sudah tentu bermain pada fikiran terutama kamu si lelaki yang sudah bersedia menyuntik kekasih hati menjadi suri hidup ke akhir hayat. 
Tambahan pula kedua-dua keluarga sudah bertanya bilakah masa untuk kamu hidup berdua. Namun, pada masa sama, kamu mungkin belum bersedia berkahwin kerana merasakan masih ada perkara yang belum selesai. Bilakah masa sesuai untuk kamu melamar pasangan?

Ingat, lima perkara ini sangat penting untuk dipertimbangkan bagi memastikan semua rencana berjalan lancar.

Pertamanya, persediaan. Untuk hidup berumah tangga ia bukan semudah A, B dan C kerana kamu perlu mengetahui ilmu kekeluargaan sebagai persediaan hidup berumah tangga. Umum mengetahui perkahwinan adalah penyatuan hidup sehingga ke akhir hayat. Biarpun ada rumah tangga yang runtuh di tengah jalan, namun ia bukan alasan tidak memahami erti perkahwinan.
Jadi sebelum berkahwin, kamu perlu bersedia berubah. Maksud persediaan di sini ialah kamu harus bersedia mental dan fizikal kerana dengan adanya kekuatan diri, Insya-Allah kamu sudah bersedia untuk hidup berdua dengan pasangan. 


Kamu sebagai lelaki harus memastikan diri dan sikap dalaman sudah cukup sempurna dan lengkap untuk memimpin sebuah keluarga kerana tanggungjawab perkahwinan itu di atas bahu kamu. Jika gagal kamu berdua, silap itu adalah kamu dan tewaslah kamu memeliharanya. 

Keduanya, kewangan hendaklah kukuh. Jika perkahwinan tidak semudah membaca A, B dan C, justeru sebelum berkahwin juga kamu perlu mengukuhkan kewangan terlebih dulu. Ini kerana sebelum ini kamu mungkin biasa makan seorang diri, tapi apabila sudah berumah tangga, segala-galanya dalam kiraan untuk dua orang. 


Bercinta itu lain meskipun kamu adalah orang yang akan membayar setiap kali ‘dating’ kerana aktiviti itu tidak kamu lakukan setiap masa. Berbanding berkahwin, semuanya perlu dikira dari soal penyelenggaraan rumah, kereta hinggalah ke makan minum. 



Kalau rezeki murah, kamu mungkin bertiga, berempat dan sebagainya. Ada juga rumah tangga bercerai berai hanya kerana masalah duit. Ada kes suami berhenti kerja dan mengharapkan isteri menanggung segala-galanya. 


Jika isteri tidak selesa, pergaduhan pasti berlaku dan dari sinilah punca terjadinya perceraian. Tahukah kamu jika bergaji agak kecil, sebenarnya agak susah kamu berbelanja membeli keperluan rumah tangga. Jadi kamu perlu bersiap sedia dari aspek kewangan kerana ia asas utama dalam perkahwinan.

Tiada orang boleh hidup dengan cinta kerana pada zaman ini serba-serbi memerlukan duit.

Ketiga pula, kamu mesti bersedia melupakan bekas kekasih. Berkahwin, kamu perlu bersedia segala-galanya terutama untuk melupakan bekas kekasih yang mungkin hadir sebelum kedatangan si dia. Ini kerana ada pasangan yang sukar melupakan bekas kekasih dan lebih teruk lagi, kamu masih berhubungan dengan bekas kekasih.


Jangan ketawa atau hanya senyum sinis kerana banyak rekod perceraian menyebut ia berlaku kerana berpunca orang ketiga dan peratusan membuktikan bekas kekasih kembali mengharap cinta lama. 



Keempatnya, memberi keutamaan. Apabila kamu bersedia berkahwin, bermakna kamu bersedia memberi keutamaan kepada rumah tangga. Kamu tidak seharusnya memikirkan keseronokan bersama kawan-kawan sama seperti ketika kamu masih bujang di mana kamu bebas untuk keluar menonton wayang atau melepak di mamak dan sebagainya kerana kamu harus memberi 100 peratus komitmen kepada rumah tangga. 


Tapi itu tidak bermakna kamu tidak boleh langsung menghabiskan masa bersama teman, tapi harus bijak dalam mengurus masa.

Terakhir, hubungan itu hendaklah direstui keluarga. Tidak guna kamu menjalin hubungan jika tidak mendapat restu keluarga. Ini kerana perkahwinan akan bahagia jika direstui keluarga. Tentu kamu pernah mendengar cerita, rumah tangga tidak aman dan bahagia bila mana seorang anak membelakangkan keluarganya kerana cinta terhadap pasangan. 

Ada juga kes di mana pasangannya bercerai kerana pelbagai masalah dan bila disemak, ternyata perkahwinan tersebut tidak mendapat restu keluarga.

Jika kamu melepasi semua lima kriteria di atas, itu bermaksud yang kamu sudah bersedia untuk menjadi suami. Tunggu apa lagi? Lamar si dia. 

No comments:

Post a Comment