Wednesday, 21 May 2014

Tips Untuk Menjadikan Diri Lebih Rajin Menolong Ibu Bapa

Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur hawa sehingga hari ini. Ingat dulu-dulu semasa umur belasan tahun. Hawa begitu malas untuk menolong kedua orang tua hawa. Selagi tidak disuruh selagi itula hawa ‘membatu’ dan sukar untuk mengikhlaskan diri dalam melaksanakan suruhan ibu bapa hawa. Bila disuruh berulang kali, barulah nak bergerak disertakan dengan perasaan marah yang adakalanya diluahkan dan adakalanya dipendamkan. Kehidupan remaja adalah kehidupan yang paling sukar. Banyak perkara dan masalah yang berlaku diselesaikan dengan mendahulukan emosi dan kepuasan nafsu semata-mata bukannya dari akal fikiran yang lebih waras.


Penyakit yang lebih bahaya daripada AIDS/ HIV atau kanser telah hinggap dalam diri hawa iaitu penyakit ‘Malas’, penyakit yang merbahaya selepas ‘ Penyakit Hati’. Penyakit ini ibarat parasit yang hinggap di dalam jiwa seseorang dan sedikit demi sedikit mengikis kebaikan yang ada dalam diri pesakit. Bagi membuang parasit ini, bolehlah pembaca mengikut tips yang hawa ingin kongsikan dibawah ini (Tips ini sebenarnya berasal dari pengalaman hawa sendiri).
  •  Ikhlas dan inginkan redha Allah

Sebelum kita lakukan kerja yang diarahkan, pastikan diri kita dalam keadaan ‘ikhlas’. Pesan pada diri sendiri ‘Aku kena ikhlas’, ‘ Ya ALLAH, aku buat kerja ni keranaMu’, atau pembaca boleh menggunakan ayat-ayat sendiri yang boleh menjadikan diri lebih ikhlas dalam melakukan pekerjaan tersebut. Bila diri kita ikhlas, barulah perasaan amarah yang ada dalam diri terpadam. Perasaan amarah itu juga boleh dipadamkan dengan beristighfar, tarik nafas dan minum air (atau kawal amarah dengan cara pembaca sendiri). Ingat! Apabila perasaan marah itu hadir, terus beristighfar dan berdoa “ Ya Allah, Ampunilah aku, rahmatilah aku dan kedua ibu bapaku.”

  • Tengok betul-betul wajah ibu bapa kita

Kita sibuk dengan pekerjaan kita sampai jarang melihat wajah kedua orang tua kita. Ambillah sedikit masa untuk melihat rambut mereka yang beruban dan kedutan dimuka mereka yang semakin bertambah. Selain wajah, lihat juga kudrat mereka yang semakin berkurang. Jika dulu pergerakan mereka pantas, kini pergerakan itu semakin perlahan. Sendi-sendi badan mereka semakin sengal dan sakit. Ingatlah! Kitalah yang menjadi punca perubahan mereka. Mereka penat dalam menguruskan rumah tangga mereka. Mereka tertekan dengan masalah yang ada dan juga dengan pelbagai kerenah anak-anak. Disebabkan adanya kesabaran mereka, mereka tidak menzahirkan penat lelah mereka pada kita. Banyakkan tanya pada diri “Kalau kita tidak menolong mereka, siapa lagi???”,  “ Nak derhaka???”.

  • Wujudkan perasaan kesian terhadap ibu bapa kita

Apabila perasaan ini wujud, dengan sendirinya pembaca akan ikhlas menolong ibu bapa. “Kesian mak aku, kalau dia buat kerja berat tu mesti penat”.

  • Lakukan sesuatu terlebih dahulu sebelum diarah oleh ibu bapa kita.

Jika pembaca seorang yang baran, lakukanlah perkara yang sepatutnya terlebih dahulu sebelum diarah ibu atau bapa. Contoh yang terdekat basuh pinggan, basuh kain, sapu sampah, buang sampah dan sebagainya. Jika pembaca bertindak sedemikian, sejuk hati ibu dan ayah melihat perubahan pembaca. Abaikan jika mereka atau mata-mata yang melihat mengatakan pembaca “Anak aku mengigau?”, “buang tabiat???”, “kena sampuk??”, dan sebagainya. Perkataan itu hanya pada peringkat awal, lama-lama mereka akan diam malah akan tersenyum dan bangga melihat kerajinan pembaca.

  •  Banyakkan bercakap dan mengenali Ibu Bapa kita dengan lebih dekat.

Kenal ibu bapa pembaca dengan lebih dekat. Seronok sebenarnya bila diri kita dekat dengan ibu bapa kita. Kenal mereka dan fahami mereka. Bila kita rapat dengan mereka, baru mudah untuk kita saling tolong menolong, malah semakin menebal sayang mereka kepada pembaca.


Hawa telah kongsikan tips yang berguna untuk pembaca. Alhamdulillah, parasit itu kian menipis di dalam diri hawa. Sekian...


# Jika pembaca ingin kongsikan tips-tips yang berguna, bolehla komen dan senaraikan di bawahni. Hawa amat menghargai respon dari pembaca :-)#

No comments:

Post a Comment